'PKR Johor kekal kukuh walau ada yang keluar parti' - Ketua AMK

LocalPolitics
23 May 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'PKR Johor kekal kukuh walau ada yang keluar parti' - Ketua AMK
Faezuddin

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor kekal kukuh meskipun beberapa bekas pemimpin dan individu mengambil keputusan meninggalkan parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, perjuangan Reformasi yang menjadi asas penubuhan parti tidak pernah dibina atas rasa kecewa atau kepentingan individu.

Tegas beliau, perjuangan itu lahir daripada semangat menentang kezaliman, rasuah serta mempertahankan keadilan demi rakyat.

"PKR akan terus kekal berdiri atas sokongan rakyat marhaen, kekuatan anggota di bawah dan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan hari ini.

"Kekuatan PKR tidak pernah bergantung hanya kepada seorang dua tokoh. Perjuangan reformasi ini terlalu besar untuk diganggu oleh tindakan individu tertentu yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi agenda membela rakyat," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Cabang Pulai, menghormati keputusan mana-mana pihak yang memilih haluan politik berbeza dan menyifatkan perbezaan pendirian sebagai sebahagian daripada proses demokrasi negara.

“Selamat maju jaya buat teman-teman yang telah memilih haluan berlainan. Kita jumpa di medan pesta demokrasi negara,” katanya.

Sebelum itu, bekas pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor dilaporkan menubuhkan jawatankuasa sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama)

Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abdul Hamid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.

Bersama turut menyasarkan mahu bertanding di 56 DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.