PKR: Reformasi Diuji, Kepercayaan Dipertaruhkan

Opinion
30 May 2025 • 7:30 AM MYT
Dr. Mahathir
Dr. Mahathir

Politician

Parti Keadilan Rakyat bukan lagi sebuah parti di pinggir kuasa. Hari ini, ia berada di tengah-tengah tampuk pemerintahan negara. Segala geraknya diperhatikan, setiap keputusannya dinilai. Dengan barisan kepimpinan baharu, masa untuk menyusun sudah berlalu. Kini tiba masa untuk membuktikan bahawa PKR bukan sekadar nama dalam kerajaan, tetapi parti yang benar-benar bersedia untuk memimpin dengan tekad dan tanggungjawab.

Pemilihan parti telah selesai. Kepimpinan baharu telah mendapat mandat. Namun memiliki jawatan tidak sama dengan memperoleh keyakinan rakyat. Suasana politik hari ini jauh berbeza. Rakyat semakin letih, beban hidup semakin tinggi, dan janji-janji pilihan raya masih belum tertunai sepenuhnya. Persoalannya kini: adakah kepimpinan yang baharu ini mampu menggalas amanah rakyat, mengembalikan kepercayaan yang kian luntur, dan membuktikan bahawa reformasi masih relevan dan bermakna?

Di luar dewan mesyuarat dan pentas ucapan, tugas sebenar menanti adalah di lapangan. Pimpinan perlu kembali turun ke kawasan, bersemuka dengan rakyat, mendengar sendiri suara yang selama ini hanya dipetik dari laporan. Ramai yang kecewa. Ramai yang merasakan PKR semakin jauh dari nadi rakyat. Jika parti ini mahu bangkit semula, ia perlu kembali ke akar perjuangannya suara rakyat biasa yang menjadi asal usul kewujudannya.

Pilihan Raya Umum ke-15 membawa isyarat yang jelas. Beberapa kerusi penting jatuh ke tangan PAS. Ia bukan sekadar kegagalan taktikal, tetapi petanda bahawa mesej perjuangan tidak sampai kepada akar umbi. Untuk meraih semula kepercayaan, bukan cukup dengan strategi atau slogan, tetapi dengan tawaran dasar yang jelas, realistik dan meyakinkan. Rakyat hari ini tidak lagi mudah terpesona dengan idealisma tanpa hasil. Mereka mahu tindakan, bukan kata-kata.

Benar, peralihan dari pembangkang kepada kerajaan membawa cabaran yang besar. Banyak kekangan struktur yang menyukarkan pelaksanaan perubahan. Namun rakyat tidak menuntut kesempurnaan. Mereka menuntut kejujuran. Mereka mahu pemimpin yang berani mengakui kelemahan, menjelaskan batas kemampuan, dan tampil dengan penyelesaian. Kegagalan bukan lagi boleh disorok di bawah alasan. Ia perlu dijawab dengan keikhlasan.

Pemilihan PKR kali ini turut menyaksikan kejutan. Beberapa tokoh besar, termasuk ahli parlimen dan menteri, tewas. Namun ini bukan petanda keretakan. Sebaliknya, ia bukti bahawa demokrasi dalam PKR masih subur. Akar umbi tidak gentar untuk membuat pilihan yang berbeza. Dan itulah kekuatan sebenar keberanian untuk berubah dari dalam.

Seperti biasa, ada desas-desus tentang politik wang, kronisma, dan penyalahgunaan kuasa. Tuduhan seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Namun ia juga menjadi peringatan bahawa kuasa bukan milik mutlak. Ia bukan hadiah, tetapi amanah yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa. Rakyat memberi mandat ini, dan mereka juga boleh menariknya semula.

Walaupun cabarannya besar, PKR tidak kekurangan pemimpin pelapis. Ramai anak muda yang berpotensi, yang bukan sekadar bersuara, tetapi bersedia untuk memikul tanggungjawab. Persoalannya ialah: adakah ruang dan kepercayaan akan diberi kepada mereka? Parti ini tidak kekurangan bakat. Yang diperlukan ialah keberanian untuk memberi peluang, dan kebijaksanaan untuk melepaskan cara lama yang sudah tidak relevan.

Yang paling penting, PKR tidak boleh lupa asal-usulnya. Parti ini lahir dari penindasan, bangkit dari jalanan, dan dibina atas semangat rakyat biasa. Jika semangat itu terpadam, maka lenyaplah identiti parti ini. Kita sudah lihat bagaimana parti yang lupa asal mula akhirnya terpaksa bergantung pada simpati. Lihat siapa disebelah atas nama perpaduan, bukan kekuatan.

Ini era Anwar Ibrahim. Namun era ini tidak boleh bersandar pada satu nama semata-mata. Jika ia mahu dikenang dalam sejarah, maka ia mesti dipenuhi dengan perubahan yang nyata perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat, bukan sekadar dijanjikan di pentas. Jalannya bukan mudah, tetapi sejak awal lagi perjuangan ini tidak pernah mudah. Persoalannya kini, masihkah mereka yang diberikan mandat hari ini ingat mengapa mereka memulakan langkah ini dahulu?

Jika jawapannya ya, mungkin rakyat masih sudi melangkah bersama.

Oleh Dr Mahathir Mohd Rais

Image from: PKR: Reformasi Diuji, Kepercayaan Dipertaruhkan
Dr Mahathir Mohd Rais (berbaju biru disebelah kanan)

Dr. Mahathir adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.