PKR Sabah gerak sukarelawan bantu  jentera PRN Johor, N9

LocalPolitics
9 Jun 2026 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

PKR Sabah gerak sukarelawan bantu  jentera PRN Johor, N9

Kota Kinabalu: PKR Sabah menggerakkan pasukan sukarelawannya ke Johor dan Negeri Sembilan bagi memperkukuh jentera pilihan raya serta gerak kerja kempen di kedua-dua negeri.

Ketua Penerangan PKR Sabah Farid Sainuri berkata penghantaran pasukan itu adalah komitmen parti dalam menzahirkan solidariti dan semangat perjuangan bersama dalam kalangan ahli.

Beliau berkata kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh ahli untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan.

“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan, Isnin.

Farid juga berkata PKR Sabah akan terus memperkukuh struktur organisasi peringkat negeri bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja politik dalam mendepani cabaran mendatang.

Justeru, beliau berkata Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam struktur kepimpinan negeri antara lain menerusi pelantikan tiga Ahli Biro Politik baharu iaitu Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa.

“Pelantikan ini diyakini akan memperkukuh lagi fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah,” katanya.

Farid turut mengumumkan pelantikan Patrict Sulaiman sebagai Ketua Cabang Tuaran yang baharu manakala Arastam Pandorog memimpin Cabang Semporna bagi memastikan kelangsungan kepimpinan dan pengukuhan organisasi di peringkat cabang.

Selain itu, Ketua Cabang Tawau Fung Thien Yin dilantik sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi Zon Tawau.

“Pelantikan ini bertujuan memperkukuh representasi kepimpinan mengikut zon serta memastikan suara dan keperluan akar umbi di kawasan Pantai Timur terus diberikan perhatian sewajarnya,” kata beliau.