PKR Sabah pertahan hasrat tanding 13 kerusi PRN

LocalPolitics
28 May 2025 • 12:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mempertahankan cadangannya untuk bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), menegaskan bahawa keputusan itu dibuat hasil kerjasama dengan rakan politik dan bukan semata-mata arahan daripada kepimpinan pusat parti.

Penjelasan ini dibuat susulan kenyataan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Anuar Ghani, yang mengkritik hasrat PKR tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan “orang luar politik”.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia merangkap Ketua AMK Cabang Pensiangan, Mohd Guntur Sangkar, berkata senarai kerusi yang dicadangkan adalah hasil perbincangan berterusan antara PKR Sabah dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Senarai ini dibuat berdasarkan semangat kerjasama politik yang matang, tanpa mengetepikan peranan parti-parti tempatan. PKR Sabah bukanlah cabang yang hanya mengikut telunjuk pusat secara membuta tuli,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, sejak penubuhannya, PKR Sabah dibangunkan menerusi kolaborasi erat antara aktivis tempatan dan kepimpinan nasional, dan kini berakar umbi dalam landskap politik negeri ini.

Mohd Guntur turut menekankan bahawa PKR merupakan satu-satunya parti nasional yang secara rasmi meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam perlembagaan parti – satu langkah yang membuktikan komitmen jangka panjang parti terhadap hak dan autonomi Sabah.

Sambil menyindir Star Sabah, beliau menggesa parti itu menilai semula sejarah kerjasama politiknya, khususnya ketika bersama Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Itu adalah gabungan yang secara terbuka melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan MA63 dan gagal menunaikan banyak janji pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, PKR Sabah kekal konsisten memperjuangkan reformasi dan keadilan untuk rakyat negeri ini, sementara pendirian politik Star pula dilihat berubah mengikut kesesuaian keadaan.

“Apa yang Sabah perlukan adalah kestabilan dan prinsip, bukannya oportunisme,” tegas Mohd Guntur.