PKR Teliti Semula Calon Sungai Buloh Selepas KJ Diumum Jadi Pencabar

Politics
2 Nov 2022 • 7:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rafizi berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan presiden PKR. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - PKR enggan memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menggunakan popularitinya untuk meraih undi di kawasan tersebut, apabila membuat keputusan untuk meneliti semula calonnya di kerusi terbabit.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, perbincangan itu akan dibuat berdasarkan kepada maklum balas pengundi di Sungai Buloh terhadap calon PKR yang dikemukakan setakat ini.

“Saya akan berbincang dengan Anwar Ibrahim mengenai maklum balas pengundi-pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini. Saya hargai semua pandangan.

“Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai Presiden parti,” ciapnya di Twitter hari ini.

Semalam BN mengumumkan bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ akan ditampilkan sebagai calon di Parlimen Sungai Buloh.

Beliau dijangka berhadapan dengan bekas Bendahari MIC, Datuk R Ramanan yang menggantikan penyandang Parlimen tersebut iaitu R Sivarasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) depan.

Pada 2018, PKR meletakkan R Sivarasa sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dan memperoleh kemenangan selesa apabila meraih 43,631 undi.

Sivarasa yang juga seorang peguam menang dengan majoriti sebanyak 26,634 undi.

Mengikut data pada 2018, Sungai Buloh merupakan kerusi campuran dengan 66 peratus daripada 90,707 pemilih adalah Melayu, 22 peratus Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus etnik lain. - Getaran, 2 November 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved