PKR Tuaran persoal Upko mahu guna logo parti sendiri

LocalPolitics
5 Sep 2025 • 3:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: PKR Cabang Tuaran mempersoalkan jika logo Pakatan Harapan (PH) menjadi liabiliti kepada Upko hingga timbul cadangan agar parti itu menggunakan logo sendiri pada pilihan raya negeri (PRN17) akan datang.

Ketuanya Razeef Rakimin (gambar) berkata persoalan itu timbul memandangkan Upko adalah rakan dalam PH malah bekas presiden termasuk Presiden Upko ketika ini Datuk Ewon Benedick menjadi Ahli Parlimen dengan menggunakan logo PH.

“Sedangkan mantan Presiden dan Presiden mereka (Ewon) hari ini menjadi Ahli Parlimen dengan menggunakan logo PH.

“(Justeru) saya mempersoalkan adakah bagi Upko, logo PH adalah liabiliti kepada mereka?,” soalnya ketika dihubungi, di sini, pada Khamis.

Razeef turut mempersoalkan sama ada tindakan Upko itu sebagai persediaan untuk meninggalkan PH agar parti itu bebas memilih gabungan bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN17.

“Adakah ini juga persediaan Upko untuk meninggalkan PH supaya mereka bebas memilih gabungan selepas pilihanraya bagi membentuk kerajaan.

“Sekiranya (pembentukan) kerajaan ‘tergantung’ (selepas PRN17), mereka boleh menawarkan diri kepada mana-mana pihak tanpa terikat dengan PH.

“Jika mereka (Upko) menafikan perkara ini pun, tindakan mereka sebenarnya yang telah menyebabkan spekulasi ini tersebar,” tegasnya.

Baru-baru ini, timbul desakan dari semua bahagian akar umbi Upko agar parti itu menggunakan logo sendiri pada PRN17 bagi memperkukuhkan jenama Upko di hati rakyat Sabah.

Terbaru, Setiausaha Pemuda Upko Nasional Rexie Gubat dalam kenyataannya melihat langkah itu selaras dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan tampil lebih jelas memperjuangkan kepentingan Sabah.

Katanya, Upko adalah satu-satunya parti tempatan dalam PH, maka penggunaan logo sendiri adalah baik dan praktikal untuk memperkukuh keyakinan rakyat Sabah bahawa perjuangan parti itu berpaksikan wilayah ini.