
TAWAU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menumpukan tiga tema utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dalam usaha melunaskan janji kepada Sabah untuk membangun bersama Kerajaan Madani.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata tiga tema itu merangkumi aspek khidmat, kerjasama dan misi parti yang perlu diterapkan oleh seluruh parti dalam usaha memenangkan calon-calon mereka pada PRN Sabah kelak.
“Pertamanya khidmat iaitu semua tim yang dilancarkan bertujuan untuk menyantuni rakyat - bermaksud tujuan kita bukan sekadar pilihan raya tetapi bertanding untuk memberi khidmat kepada rakyat.
“Kedua adalah kerjasama yang bermaksud kita akan sepakat walaupun tidak terpilih untuk bertanding dengan memberikan komitmen membantu rakan-rakan yang dipilih bertanding”, katanya.
Nurul Izzah berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pusat Khidmat Biro Kesihatan, Kebajikan, Belia Dan Sukan serta Pendidikan di Pejabat Cabang PKR Tawau pada Sabtu.
Sementara tema ketiga mereka pula adalah misi membawa obor perjuangan Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi keutamaan kepada Sabah dari segi dana interim.
“Perkara yang penting adalah visi ini untuk Sabah membangun bersama Kerajaan Madani dan kekuatannya terletak pada setiap calon yang akan dipilih oleh rakyat”, katanya.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat memberikan ruang kepada PKR untuk berbakti dan meneruskan khidmat kerjasama ke arah melunaskan masa depan yang lebih baik untuk Sabah.
Menurutnya komitmen Kerajaan Pusat terserlah apabila sembilan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan namun mengakui terdapat hal lain lagi yang perlu dilunaskan dan menuntut perancangan rapi peringkat Kerajaan Negeri.
Pada masa sama beliau berharap PKR mampu memaksimakan kekuatannya untuk mendapatkan sokongan rakyat sekali gus melaksanakan tuntutan-tuntutan yang diterima supaya dapat diselesaikan.
Menyentuh pengundi muda pula Nurul Izzah berkata golongan itu tidak boleh diambil mudah kerana setiap zaman mempunyai generasi baharu yang memiliki semangat zamannya sendiri.
