PKS kecewa Cukai Keuntungan Modal dilaksana tanpa rundingan - SAMENTA

Business & Finance
16 Oct 2023 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKS kecewa Cukai Keuntungan Modal dilaksana tanpa rundingan - SAMENTA

zulfadli

16/10/2023 - 11:13

KUALA LUMPUR 16 Okt - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) kecewa dengan keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal menerusi Belanjawan 2024, tanpa sebarang rundingan dengan pihak berkepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pihaknya akur ia dapat meningkatkan kutipan cukai dan mengurangkan beban hutang negara, bagaimanapun ia tidak seharusnya menjejaskan usahawan dan PKS.

"Tatkala ‘pemain’ saham sepenuh masa, yang tidak menambah apa-apa nilai kepada ekonomi atau industri, dikecualikan daripada sebarang cukai, cukai baru ini yang menyasarkan PKS dan usahawan yang mungkin telah mengambil berpuluh tahun untuk mencapai prestasi sekarang, adalah tidak wajar.

"Usahawan dan pemilik PKS akan dikenakan cukai apabila mereka bersara dan menjual perniagaan mereka ataupun apabila membawa masuk pelabur baharu," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menerusi pengumuman Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam awal (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Menurut Ng, memandangkan butiran Cukai Keuntungan Modal belum dimuktamadkan, pihaknya berharap kerajaan akan mendapatkan input pihak berkepentingan terutamanya PKS, sebelum melaksanakan cukai tersebut.

image is not available
Datuk William Ng

Katanya, perlu ada pengecualian penuh untuk penjualan saham oleh pengasas syarikat atau selepas tempoh pegangan saham melebihi lima tahun, untuk menggalakkan pelaburan jangka panjang dan memupuk keusahawanan.

"Kami juga berharap akan ada pengecualian cukai keuntungan ini ke atas sebarang aktiviti penggabungan dan pengambilalihan untuk menggalakkan aktiviti tersebut dalam kalangan PKS," katanya.

Tambah beliau, walaupun pihaknya mengiktiraf usaha kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menggalakkan automasi, pendigitalan dan peralihan karbon rendah untuk PKS, pihaknya juga kecewa kerana kurangnya inisiatif khas untuk menggalakkan PKS meningkatkan rantaian nilai mereka melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain dari beberapa industri terpilih.

"Kami bersyukur kerana Perdana Menteri telah terus menyediakan dana kepada PKS untuk pelbagai tujuan, termasuk automasi, ekonomi hijau dan industri halal. Bagaimanapun, cabaran bagi PKS bukan lagi sekadar akses kepada pembiayaan, tetapi yang lebih penting, adalah untuk meningkatkan rantaian nilai supaya kami dapat meningkatkan margin keuntungan kami dan menjadi lebih berdaya saing dalam jangka panjang.

"Kita terlepas peluang untuk menggalakkan PKS memberi tumpuan kepada inovasi. Ditambah dengan dana yang diumumkan untuk syarikat pemula, seolah-olah kerajaan hilang akal bagaimana untuk membantu PKS meningkatkan rantaian nilai, dan sebaliknya cuba menggalakkan syarikat baharu yang belum terbukti untuk mengambil peranan tersebut," katanya. - DagangNews.com