PKS perlu sokongan lebih tersusun raih kontrak besar dan tembusi pasaran global – Fadillah

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKS perlu sokongan lebih tersusun raih kontrak besar dan tembusi pasaran global – Fadillah Image from: PKS perlu sokongan lebih tersusun raih kontrak besar dan tembusi pasaran global – Fadillah amree05/11/2026 - 14:10 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov — Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memerlukan sokongan lebih tersusun bagi membolehkan mereka meneroka kontrak berskala besar serta menembusi pasaran antarabangsa, terutama ketika berdepan keperluan meningkatkan kapasiti operasi dan mendapatkan pembiayaan tambahan.

 

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada komuniti perniagaan supaya pendekatan sokongan yang lebih berstruktur diperkenalkan secara khusus untuk membantu PKS yang sedang berkembang.

 

Kata beliau, segala cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan dengan lebih lanjut menerusi pelbagai sesi libat urus konstruktif bersama-sama kementerian tertentu, agensi berkaitan dan pemain industri sendiri.

 

"Sebarang pendekatan baharu perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira peruntukan inisiatif yang sedia ada serta keperluan sebenar perniagaan tersebut," jelas beliau.

 

Berucap pada majlis perasmian World Marketing Summit Malaysia 2026 pada Khamis, Fadillah berkata, perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha membantu perniagaan mencapai kejayaan awal, sebaliknya turut memastikan mereka mampu mengekalkan pertumbuhan.

 

Katanya, peluang memperoleh kontrak besar atau memasuki pasaran antarabangsa lazimnya memerlukan syarikat PKS mengambil lebih ramai pekerja, memperkukuh keupayaan pengurusan, melabur dalam peralatan serta mendapatkan pembiayaan tambahan.

 

Fadillah_Bernama
FADILLAH YUSOF - Gambar Bernama

 

Beliau berkata, peluang yang berpotensi membawa perniagaan ke tahap lebih tinggi juga boleh menguji kemampuan syarikat berkenaan untuk mengurus dan mengekalkan perkembangan tersebut.

 

"Justeru, pengalaman serta cabaran yang dihadapi usahawan perlu dijadikan input dalam penggubalan sebarang dasar bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang benar-benar memberi impak kepada perniagaan PKS," katanya.

 

Menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), Fadillah berkata, penerimaan teknologi perlu berasaskan keupayaannya menyelesaikan masalah dan meningkatkan mutu perkhidmatan, bukannya sekadar mengikut perkembangan teknologi.

 

Katanya, penggunaan AI tidak semestinya memerlukan teknologi paling canggih, sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan masa bagi tugasan pentadbiran secara berulang supaya pekerja dapat memberi lebih tumpuan kepada pelanggan.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa AI tidak menggantikan tanggungjawab manusia untuk membuat pertimbangan sewajarnya, menjaga integriti serta menilai kesan sesuatu keputusan terhadap kehidupan masyarakat.

 

"Kemajuan teknologi perlu dipandu nilai dan tanggungjawab, selain memastikan PKS, pekerja serta komuniti berpeluang menyertai dan menikmati manfaat daripada perkembangan teknologi semasa," kata Fadillah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved