
Plaintif Gagal Kemuka Bukti, Mahkamah Rayuan Menyebelahi CTOS
KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan menyebelahi CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS) dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan syarikat digital itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk merumuskan skor kredit.
Dalam satu kenyataan, CTOS berkata keputusan itu dibuat selepas rayuan dibenarkan dan mendapati pihak plaintif gagal mengemukakan bukti berhubung kes fitnah, kecuaian atau pelanggaran tugas statutori terhadapnya.
Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan CTOS boleh merumus dan menerbitkan skor kredit sebagai sebahagian daripada perniagaan pelaporan kredit mereka di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit (CRAA) 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Digital CTOS, Erick Hamburger berkata CTOS akan terus memperkasakan pengguna dan bisnes dengan menyediakan kemudahan dan maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, dengan yakin
“Keputusan positif ini amat menggembirakan dan kami akan terus memperkukuh tahap pengurusan risiko kredit, memudahkan keterangkuman kewangan dan tanggungjawab peminjam serta pemberi pinjaman untuk mengelakkan beban hutang berlebihan rakyat Malaysia.
“Keputusan ini merupakan langkah penting dalam perjalanan CTOS untuk menawarkan sistem laporan kredit yang komprehensif bagi rakyat Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Erick berkata CTOS tetap teguh dalam mengetengahkan tonggak terasnya iaitu kredibiliti, ketelusan, peluang, dan kestabilan.
“Dengan memastikan standard tertinggi ketepatan dan integriti, menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, memperkasakan individu dan bisnes, serta mengutamakan keselamatan dan kebolehpercayaan, CTOS tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan cemerlang bagi terus memperkukuhkan tahap kredibiliti di samping mempromosi kesihatan kewangan.
“Dedikasi CTOS kepada prinsip-prinsip ini akan terus memacu setiap usaha syarikat untuk memastikan keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan sentiasa dipenuhi,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan CTOS membayar pampasan sebanyak RM200,000 kepada pengarah sebuah resort susulan penarafan kredit yang tidak tepat.
Hakim Mahkamah Tinggi mendapati CTOS telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap Suriati Mohd Yusof, 43, dan melangkaui fungsi-fungsi ia didaftarkan.
Sumber: CTOS
The post Plaintif Gagal Kemuka Bukti, Mahkamah Rayuan Menyebelahi CTOS appeared first on Siakap Keli.



