Platform digital mudahkan permohonan TSPKS 2.0

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 5:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Platform digital mudahkan permohonan TSPKS 2.0

SERDANG: Skim Insentif Pembiayaan Tanaman Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 kini diperkasakan menerusi pembangunan platform digital bagi mempercepatkan proses permohonan serta meningkatkan kecekapan pemantauan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sistem berkenaan dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Agrobank dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata, platform digital itu membolehkan proses permohonan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih cekap serta terselaras.

“Pengenalan Sistem TSPKS 2.0 merupakan langkah penting dalam meningkatkan kecekapan penyampaian skim kepada pekebun kecil sawit. Melalui perkongsian maklumat yang lebih tersusun antara Agrobank dan MPOB, tindakan terhadap setiap permohonan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Agrobank akan terus memanfaatkan teknologi dan kerjasama strategik bagi memudahkan akses komuniti pertanian kepada sokongan kewangan yang diperlukan. Usaha ini bukan sahaja membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula secara lebih terancang, malah menyokong peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor sawit negara,” katanya.

Majlis pelancaran sistem berkenaan disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, sistem TSPKS 2.0 membolehkan MPOB dan Agrobank memantau status permohonan menerusi satu platform yang sama.

“Maklumat dan dokumen sokongan yang diperoleh pegawai MPOB semasa lawatan tapak, termasuk gambar kebun, boleh dimuat naik untuk rujukan pemprosesan pembiayaan, manakala status permohonan akan dikemas kini oleh Agrobank bagi tindakan susulan MPOB,” katanya.

Beliau berkata, Agrobank setakat ini menerima sebanyak 4,380 permohonan TSPKS 2.0 dengan nilai pembiayaan berjumlah RM190.99 juta, melibatkan kawasan seluas 12,197.11 hektar.

TSPKS 2.0 merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil sawit persendirian melaksanakan penanaman semula pokok sawit tua atau kurang produktif menerusi akses pembiayaan yang lebih mampu milik.

Skim itu meneruskan pelaksanaan TSPKS 1.0 dan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), MPOB serta Agrobank, dengan dana merangkumi 50 peratus geran dan 50 peratus pembiayaan kepada pekebun kecil yang layak.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, menerusi kerjasama berkenaan, Agrobank dan MPOB komited meneruskan kejayaan pelaksanaan TSPKS terdahulu menerusi TSPKS 2.0 yang diperkasakan dengan proses lebih cekap dan terselaras.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu lebih ramai pekebun kecil melaksanakan penanaman semula secara terancang, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti kebun, daya tahan usaha tani dan pendapatan mereka dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN

The post Platform digital mudahkan permohonan TSPKS 2.0 appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved