Platform Media Sosial Bersetuju Padam Lebih 159,000 Kandungan Bermasalah – Fahmi Fadzil

TechnologyDigital
13 Jun 2025 • 10:56 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil berkongsi bahawa Facebook, TikTok dan YouTube bersetuju untuk menurunkan 159,518 kandungan berkaitan perjudian, penipuan dalam talian, buli siber, dan berita palsu setakat semalam. Ini merupakan sebahagian daripada 174,473 kandungan yang dimohon untuk diturunkan sepanjang tahun ini.

image is not available

Daripada jumlah itu 51% membabitkan aktiviti perjudian dalam talian, 25% berkaitan penipuan, 12% berhubung buli siber, dan 9% adalah penyebaran berita palsu. Sebanyak 57% kandungan yang diturunkan terdapat di Facebook, diikuti oleh TikTok dengan 28% dan YouTube sebanyak 13%.

Meskipun usaha sedang giat dijalankan, masih timbul kebimbangan mengenai kandungan eksploitasi kanak-kanak dalam talian khususnya di Facebook. Fahmi turut mempersoalkan sama ada undang-undang dan tahap Kerjasama sedia ada mencukupi, atau perlu pendekatan yang lebih berkesan untuk mengatasi isu ini. Beliau juga merujuk kepada operasi Ops Pedo Beroperasi yang telah dilaksanakan oleh PDRM dan MCMC pada penghujung tahun lalu bagi menangangi masalah tersebut.

image is not available
Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil 

Bagi meningkatkan keselamatan pengguna media sosial, Kerajaan telah memperkenalkan pelesenan platform media sosial pada awal tahun lalu. Selain itu, Parlimen meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 yang bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi. Akta ini memberi kuasa kepada MCMC untuk mengambil tindakan terhadap platform yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka dalam melindungi pengguna.

Dengan langkah-langkah ini, kerajaan berusaha menjadikan ekosistem media sosial lebih selamat dan terkawal terutama bagi golongan kanak-kanak.