
Platform NLET 2025 Perkasa Kepimpinan Dalam Transisi Tenaga Nuklear
Komitmen Malaysia dalam peralihan tenaga yang mampan diterjemahkan melalui penganjuran program Nuclear Leaders for Energy Transition (NLET) 2025 yang berlangsung pada 8 hingga 14 September 2025 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Acara ini dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia di bawah kerangka Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Program MTCP ini merupakan satu inisiatif Kementerian Luar Negeri yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan serta perkongsian pengetahuan dengan negara-negara membangun lain. Sejak ditubuhkan pada tahun 1980, MTCP telah memberi manfaat kepada lebih 38,000 peserta dari 144 negara dalam bidang seperti tadbir urus, sains, teknologi dan pembangunan mampan.

Tenaga nuklear diiktiraf sebagai salah satu pilihan teknologi rendah karbon yang berpotensi menyokong peralihan tenaga global. Malaysia melihat bahawa melalui pemindahan ilmu, pengukuhan dasar serta pembangunan modal insan yang berfokus, potensi tenaga nuklear boleh terus diterokai sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang negara dalam menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Program NLET 2025 menghimpunkan seramai 25 peserta dari 17 negara, terdiri daripada penggubal dasar, jurutera dan penyelidik yang dicalonkan oleh negara masing-masing. Sepanjang tujuh hari acara berlangsung, peserta dapat menghadiri siri syarahan daripada pakar-pakar dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (ATOM Malaysia), MyPOWER Corporation, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Malaysia Energy Literacy Program (MELP).

Antara elemen penting dalam NLET adalah projek integrasi dasar selama dua hari di mana para peserta akan membangunkan cadangan dasar peralihan tenaga berdasarkan landskap dan keperluan negara masing-masing. Para peserta juga berpeluang melawat reaktor penyelidikan nuklear negara, loji tenaga solar, loji-loji janakuasa berasaskan arang batu dan gas asli serta fasiliti pengurusan sisa radioaktif.
Penganjuran ini memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara serantau dalam pembangunan tenaga rendah karbon dan pelaksanaan dasar teknologi nuklear yang selamat dan bertanggungjawab. Tambahan pula usaha ini mencerminkan tekad yang berterusan negara dalam menyokong matlamat global ke arah Net Zero Emission menjelang 2050.

Sebagai salah satu Pusat Latihan Serantau (RTC) IAEA dalam bidang keselamatan dan sekuriti nuklear, Malaysia komited untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan memperkukuh kapasiti tenaga mahir dalam bidang ini.
NLET 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan dasar, jaringan profesional dan pelaksanaan teknologi tenaga baharu yang lebih lestari dan inklusif sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga di peringkat global.
The post Platform NLET 2025 Perkasa Kepimpinan Dalam Transisi Tenaga Nuklear appeared first on Siakap Keli.


