PlayStation 5 Gagal Mencapai Sasaran Jualan – Kini Di Peringkat Akhir Kitaran Hayat

TechnologyGamingDigital
15 Feb 2024 • 11:04 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sony mengumumkan laporan kewangan mereka untuk suku terakhir 2023. Antara yang menjadi tumpuan ialah sebanyak 8.2 juta unit konsol PlayStation 5 telah berjaya dijual yang di bawah sasaran asal sekitar 9 juta unit konsol. Oleh sebab ini Sony kini mengubah sasaran menjual 21 juta unit PlayStation 5 untuk tahun fiskal 2023 berbanding sasaran asal 25 juta unit.

image is not available

Turut dinyatakan dalam laporan ialah PlayStation 5 kini di “peringkat akhir kitaran hayat” selepas dilancarkan pada Disember 2020. Di awal pandemik hampir mustahil untuk membeli sebuah PlayStation 5 kerana jumlah unit yang terhad. Hanya tahun lalu ia lebih mudah dibeli sekaligus membolehkan ia mencapai angka jualan 50 juta konsol. Ia masih di belakang PlayStation 3 (87 juta), PlayStation (102.49 juta) dan PlayStation 2 (155 juta).

Tahun ini juga Sony tidak akan melancarkan permainan baharu daripada studio milik mereka. Satu sinar cahaya dalam laporan kewangan ialah permainan Spider Man 2 telah terjual lebih 10 juta unit.