PlayStation 5 sudah hampir berusia empat tahun dan kini angka jualannya mula menurun. Maka tepat pada masanya, ura-ura PlayStation 5 Pro akan dilancarkan mula didengari sejak enam bulan yang lalu. Terkini muncul laporan dari WCCFTech, PS5 Pro mungkin akan diumumkan seawal bulan depan.
Ketika di Gamescom yang berlangsung minggu lalu, pembangun dilaporkan mula menerima spesifikasi akhir PS5 Pro supaya memudahkan mereka merancang permainan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. Beberapa pembangun turut melewatkan pelancaran permainan bagi membolehkan ia dijalankan pada konsol kemas kini ini dengan lebih baik.

Ura-ura lain mengatakan acara State of Play baharu akan diadakan pada penghujung September dan konsol akan mula dijual pada bulan November. Ini adalah strategi yang sama seperti PlayStation 4 Pro dilancarkan hampir 8 tahun yang lalu.
Adalah dipercayai GPU PS5 Pro sekitar 45% lebih berkuasa dengan CPU pula beroperasi pada kelajuan sehingga 3.85GHz yang adalah 10% lebih pantas berbanding PS5. Ini membolehkan PS5 Pro menjalankan mod raytracing sehingga 4X lebih baik sementara PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) meningkatkan kualiti grafik setanding sebuah PC.
