Sony hari ini mengumumkan penawaran PlayStation Portal untuk pasaran Malaysia, dimana ia akan dijual pada harga RM999 untuk pasaran tempatan. PlayStation Portal ini akan dipasarkan secara rasminya pada 9 Oktober 2024, tetapi mereka yang berminat boleh melakukan pra-tempahan bermula 5 Ogos 2024.

PlayStation Portal merupakan salah satu peranti yang menawarkan sokongan permainan jarak jauh atau “Remote Play” bagi konsol PlayStation 5. Ia hadir dengan skrin 8-inci LCD dengan keupayaan 1080p, dan boleh strim permainan terus daripada PlayStation 5.
Dengan adanya peranti ini, pengguna boleh memainkan permainan PlayStation 5 tanpa perlu duduk di hadapan televisyen, dan bermain di bilik berbeza dalam rumah. PlayStation Portal berhubung ke PlayStation 5 secara WiFi, dengan sekurang-kurangnya 5Mbps untuk digunakan.
Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pra-tempahan untuk PlayStation Portal di Malaysia bermula minggu hadapan, 5 Ogos 2024.


