PLKN pupuk patriotisme, perpaduan generasi muda 

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PLKN pupuk patriotisme, perpaduan generasi muda 

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak hanya menjadi platform membentuk disiplin malah memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu penting bagi melahirkan rakyat yang mempunyai rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap negara.

Beliau berkata, generasi muda perlu memahami bahawa setiap rakyat mempunyai peranan dalam mempertahankan kedaulatan negara meskipun tidak semuanya terlibat secara langsung dalam aspek ketenteraan.

“Rakyat itu sendiri boleh memainkan peranan dan yang paling mudah mereka sayangkan dan cintakan kepada negara. 

“Bukan untuk mereka ini semua terlibat dalam soal mengangkat senjata tetapi sekurang-kurangnya nilai patriotisme, sayangkan negara itu ada pada mereka,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4 2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, PLKN turut menekankan kepentingan perpaduan dan integriti nasional dengan mendidik peserta menerima kepelbagaian kaum, agama serta budaya sebagai kekuatan negara.

Katanya, perbezaan latar belakang masyarakat tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membangunkan negara termasuk menerusi inovasi dan penemuan baharu.

“Jangan jadikan perbezaan sebagai sebab untuk berpecah. Sebaliknya jadilah perbezaan antara kita sebagai kekuatan untuk sama-sama membangunkan negara,” katanya.

“Peserta perlu menjalani latihan selama 45 hari bagi membentuk perwatakan positif, disiplin, integriti dan nilai murni yang perlu diamalkan selepas kembali ke dalam masyarakat.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, penyertaan PLKN 3.0 bagi siri terakhir tahun ini mencapai 102 peratus daripada sasaran asal 1,860 pelatih dengan seramai 1,899 peserta mengikuti latihan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,149 adalah lelaki manakala 750 perempuan yang ditempatkan di enam Kem Latihan Khidmat Negara (CLKN) dan dua Pusat Latihan Rela.

“Sambutan terhadap program itu amat menggalakkan termasuk di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah yang menempatkan 236 pelatih wanita bagi siri berkenaan tanpa seorang pun menarik diri atau tercicir sepanjang latihan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut merancang menambah kapasiti latihan menerusi pembukaan sebuah kem baharu di Gemas, Negeri Sembilan, tahun depan menjadikan keseluruhan sembilan kem berbanding lapan ketika ini.

“PLKN bukan diwujudkan untuk menjadi laluan terus ke universiti namun ia melengkapi pendidikan sedia ada termasuk membantu belia mendapatkan pendedahan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya. – UTUSAN

The post PLKN pupuk patriotisme, perpaduan generasi muda  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved