PLUS jangka 2.3 juta pengguna jalan raya sehari menjelang Aidilfitri

LocalTravel
12 Mar 2026 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nik Airina (empat kanan) semasa menghadiri sidang media di Persada PLUS di sini pada Khamis.

PETALING JAYA - Kira-kira 2.3 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS pada hari puncak sempena musim perayaan Aidilfitri dengan 34 lokasi Smart Lane dibuka bagi melancarkan aliran trafik.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, peningkatan trafik lebih 20 peratus dijangka berlaku bermula pada 18 hingga 20 Mac serta 27 hingga 29 Mac.

"PLUS akan mengambil tindakan strategik utama yang berfokus kepada tiga perkara iaitu pengagihan trafik melalui aplikasi MyPLUS-TTA, pengurusan trafik serta insiden yang lebih efisien, selain memastikan keselesaan pengguna lebuh raya.

“Di sini saya nak menekankan ataupun menasihatkan semua pengguna-pengguna Lebuhraya merancang perjalanan yang lebih optimum menggunakan MyPLUS-TTA di Lebuhraya PLUS dan juga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)," katanya.

Nik Airina berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai persiapan PLUS menghadapi peningkatan trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir Nadzrol Fadzilah Ahmad dan Timbalan Pengarah Dasar, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Norazlan Ibrahim.

Nim Airina berkata, berdasarkan trend trafik pada musim Tahun Baharu Cina baru-baru ini, pengguna yang mematuhi jadual perjalanan MyPLUS-TTA menikmati tempoh perjalanan yang lebih baik dan lebih lancar.

"Prinsip MyPLUS TTA adalah memulakan perjalanan secara berperingkat bagi mengagihkan trafik supaya tidak tertumpu pada masa tertentu.

“Kalau semua trafik memulakan perjalanan yang sama, ia akan menyukarkan perjalanan dan mengakibatkan trafik tinggi pada masa beberapa jam," katanya.

Nik Airina berkata, pada musim perayaan kali ini juga 34 lokasi Smart Lane akan dibuka di lokasi strategik di lebuh raya bagi meningkatkan kapasiti trafik.

Katanya, kelajuan maksimum yang dibenarkan di laluan berkenaan adalah 60 kilometer sejam (km/j) kerana lorong itu lebih sempit berbanding lorong utama.

“Penggunaan Smart Lane tak boleh seperti di mainline (jalan utama), ia perlu lebih perlahan dan buat masa ini kita letakkan had laju maksimum 60 km/j,” katanya.

Dalam pada itu, PLUS turut menggerakkan lebih 6,000 petugas di ekosistem lebuh raya selain menempatkan pasukan tindak balas kecemasan bersama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa lokasi strategik bagi mempercepatkan respons sekiranya berlaku kemalangan.

"Selain itu, semua kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) juga akan dibuka 24 jam bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang musim perayaan," katanya.