
SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan bahawa terdapat kerja-kerja pemasangan paip gas yang telah dijalankan oleh pihak ketiga tanpa kebenaran di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Bagaimanapun PLUS dalam satu kenyataan berkata, jururunding telah membuat penilaian dan hasil siasatan mendapati laluan itu adalah stabil dan selamat digunakan oleh pengguna lebuh raya.
“Pada masa yang sama, PLUS telah memulakan kerja-kerja pembaikan sejak Januari 2024 dan akan mengadakan pemantauan berterusan di lokasi tersebut,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pemasangan paip gas oleh salah sebuah syarikat minyak di laluan tersebut tanpa kelulusan PLUS sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Berikutan itu, ia telah mengundang kerisauan daripada kalangan warganet yang menggunakan laluan tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
