PLUS sediakan 112 poin pengecas EV di lebuh raya kendaliannya setakat 30 Jun 2025

18/08/2025 - 12:34
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Sebanyak 112 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) telah beroperasi di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad setakat 30 Jun 2025.
Jumlah itu berjaya melepasi sasaran awal PLUS iaitu 100 poin menjelang akhir tahun ini dalam usaha memperkukuhkan komitmennya terhadap mobiliti rendah karbon di negara ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, poin pengecas EV ditempatkan secara strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, serta stesen minyak terpilih untuk memastikan akses lebih mudah kepada penggunanya.
“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2.0 dan menyumbang kepada sasaran 1,000 poin pengecas pantas menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
“Sebahagian poin pengecas dilengkapi dengan bumbung panel solar dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi menyokong agenda kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PLUS turut mensasarkan pembukaan Hab EV lebuh raya pertama di Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) oleh Terra ChargEV yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Terra ChargEV adalah hasil usaha sama antara anak syarikat PLUS, Terra PLUS Sdn Bhd, bersama Green EV Charge.
Selain itu, beliau berkata, PLUS juga merancang projek perintis ’Charge and Chill’ di beberapa plaza tol terpilih menjelang 2025.
“Inisiatif itu menggabungkan infrastruktur pengecas EV dengan kemudahan makanan dan minuman untuk keselesaan pengguna.
“Menjelang 2028, PLUS menyasarkan 350 lokasi pengecas EV di seluruh lebuh raya kendalian kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran berkata, kesemua poin pengecas EV ialah jenis pantas arus terus (DCFC) dengan kuasa output antara 47 kW hingga 200 kW, membolehkan kenderaan mencapai 80 peratus tahap pengecasan dalam 15 hingga 30 minit bergantung spesifikasi bateri.
“Semua poin pengecas menggunakan penyambung CCS2 universal yang sesuai serasi dengan kebanyakan jenama EV utama.
“PLUS turut memastikan kemudahan sokongan di R&R dan hentian sebelah seperti restoran, kedai serbaneka, surau, tandas dan ruang menunggu berbumbung untuk keselesaan pengguna semasa pengecasan.
“Lokasi dan status poin pengecas boleh diakses melalui aplikasi mudah alih PLUS serta aplikasi pengendali seperti JomCharge, Gentari Go dan ChargEV App, membolehkan pengguna memantau sesi pengecasan dan membuat pembayaran dengan mudah,” katanya.
Tambahnya, PLUS sentiasa komited untuk menyediakan tahap perkhidmatan dan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya pada masa hadapan. - DagangNews.com
standard

