PM Anwar adakan pertemuan dengan 11 pertubuhan Islam di Jakarta
zulfadli
05/09/2023 - 14:41
KUALA LUMPUR 5 Sept - Dalam kepadatan jadual sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta, Indonesia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan dengan 11 buah pertubuhan Islam di republik itu.
Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pertemuan itu amat bermakna tatkala mereka mengimbau garis sejarah permulaan beliau sebagai aktivis yang pernah belajar dari hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka.
"Alhamdulillah, dalam kepadatan jadual sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta, saya sempat berdiskusi dan bertukar pandangan dengan para pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam.
"Dalam perbincangan ini kami banyak menyentuh tantangan pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam," katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Umum Muhammadiyah, Bapak Haedar Nashir; Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Dr Adian Husaini dan Prof Din Syamsuddin, termasuk Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU), Ibu Khofifah Indar Parawansa serta Gabenor Jawa Timur atas kesudian hadir dalam pertemuan itu.
Katanya, siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara.


Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ASEAN dan sidang-sidang kemuncak berkaitan bermula hari ini hingga Khamis dengan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.

Beliau akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan perasmian Forum ASEAN-Indo Pasifik (AIPF) serta mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar. - DagangNews.com
