PM Anwar Enggan Ulas Lanjut Mengenai Titah Adendum Najib

LocalPolitics
10 Dec 2024 • 3:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai isu titah adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

image is not available

Foto: Reuters

Menurut laporan Buletin TV3, Anwar menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh mengulas keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan.

“Saya nak tanya, boleh atau tidak seorang perdana menteri ulas keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan, jawabnya tidak boleh.

“Mengapa menteri-menteri jawab begitu, kita rujuk kepada Jemaah Menteri dan kita beri keputusan sehingga kes ini dimuktamadkan dan sehingga Yang di-Pertuan Agong perkenan, tidak boleh kita sentuh,” katanya.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Beliau berkata demikian mengulas soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang meminta penjelasan kerajaan mengenai kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 yang melibatkan permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Anwar berkata beliau hanya akan membuat komen selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada 6 Januari tahun hadapan.

“Adendum kena tunggu 6 Januari, apa yang tidak sabar sangat. Saya tidak mahu komen betul atau tidak, saya tidak mahu komen. Tapi memang betul tidak dihantar kepada saya, dan tidak diberitahu dan tidak ada penjelasan kepada saya.

“Tidak semestinya begitu, kerana dia mesti melalui Lembaga Pengampunan dan saya bukan ahlinya. Ada yang dakwa saya buat tidak tahu, saya tahu faktanya.

“Saya tegaskan kalau nak bangkitkan adendum dan surat, tidak ada sesiapa yang pertikai sahih atau tidak, biar mahkamah yang putuskan, biar kita dedahkan termasuk siapa yang masukkan agenda berkenaan dan kena ingat ini hanya boleh dilakukan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan setelah dikecualikan dari Akta Rahsia Rasmi dan saya setuju supaya boleh memadamkan tohmahan kepada Peguan Negara dan kerajaan,” ujarnya.

image is not available

Foto: Parlimen Malaysia

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa perkara tersebut ada dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Sultan Ibrahim di Johor Bharu, semalam.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta orang ramai menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung berkaitan kes ini.

Sumber: Buletin TV3 (Rushaidi Hafiz Shahid)