PM Anwar lancar Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030, fokus kukuh tahap celik kewangan rakyat

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar lancar Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030, fokus kukuh tahap celik kewangan rakyat

image is not available

03/10/2025 - 17:26

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026–2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025 di Sasana Kijang sebagai usaha mengukuhkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia.

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan berkata, NS2.0 hadir daripada kejayaan pelaksanaan NS1.0 (2019–2023) dan menetapkan hala tuju baharu dengan tema “Membina Masa Depan Kewangan yang Kukuh”.

Strategi itu menggariskan lima fokus utama bagi membantu rakyat mengurus kewangan dengan lebih baik di setiap peringkat kehidupan – daripada perancangan persaraan, melindungi isi rumah daripada kejutan kewangan, sehinggalah meningkatkan keyakinan untuk menyimpan dan melabur demi masa depan.

"Antara inisiatif utama NS2.0 termasuk kerjasama lebih kukuh dengan industri, masyarakat dan komuniti bagi memperluas capaian Jawatankuasa Pemandu Antara Agensi Peringkat Tertinggi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sokongan khusus kepada isi rumah mudah terjejas serta komuniti yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan.

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Jelajah “Skuad Celik Kewangan” FLM2025 yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak yang dikendalikan oleh ahli-ahli FEN.

"Selain itu ia bertujuan mengukuhkan literasi kewangan digital agar rakyat mampu menggunakan platform dalam talian dengan selamat dan bijak. Bagi memastikan ketelusan, NS2.0 turut dilengkapi dengan Rangka Kerja Pemantauan dan Penilaian (M&E) beserta sasaran boleh ukur serta KPI yang jelas," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melancarkan Program Jelajah “Skuad Celik Kewangan” FLM2025, iaitu kenderaan bergerak yang dikendalikan ahli-ahli FEN untuk menjelajah ke 111 lokasi seluruh negara, termasuk komuniti luar bandar, usahawan mikro dan golongan OKU, bagi menyampaikan pendidikan kewangan secara langsung.

Melengkapi usaha itu, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2025 turut berlangsung pada 2 Oktober 2025 bertemakan “Ke Arah Negara yang Berdaya Tahan Kewangan: Ekosistem Kewangan yang Celik dan Inklusif”.

Simposium tersebut menghimpunkan penyelidik, pembuat dasar dan pemimpin komuniti untuk berkongsi pandangan dan solusi praktikal bagi memperkukuh pelaksanaan dasar literasi kewangan negara.

Pelancaran NS2.0 dan FLM2025 mencerminkan komitmen bersepadu Kerajaan dan FEN dalam membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dari aspek kewangan, sekali gus memperkasakan rakyat untuk menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan. - DagangNews.com

featured standard