PM Anwar: Malaysia, Kanada perkukuh kerjasama dua hala dalam bidang baharu menerusi Strategi Indo-Pasifik
zulfadli
07/09/2023 - 10:22
KUALA LUMPUR 7 Sept - Malaysia dan Kanada akan terus memperkukuh kerjasama dua hala terutama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, hubungan sesama insan serta bidang-bidang baharu termasuk ekonomi hijau, sains dan teknologi serta kecerdasan buatan menerusi Strategi Indo-Pasifik Kanada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai pada pertemuan dua hala antara beliau dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Justin Trudeau ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Jakarta, Indonesia semalam.
Anwar berkata, kesepatakatan turut dicapai dalam mempertingkat hubungan dan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Kanada ke tahap yang lebih tinggi.
Katanya, dalam sidang ini juga, Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada telah dilancarkan yang mana mesyuarat telah menerima pakai Kenyataan Bersama Pemimpin-Pemimpin mengenai Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.
"Saya turut singgung keperluan agar kedua-dua pihak meneruskan rundingan membina ke arah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada, yang dijadualkan pada tahun 2025," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.


Tambah Anwar, bagi menangani kesan krisis makanan dan tenaga, beliau telah mencadangkan agar kedua-dua ASEAN dan Kanada untuk meneruskan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, teknologi digital, serta menggalakkan pertukaran para pakar dalam bidang-bidang yang berkenaan. - DagangNews.com
