PM Anwar tegaskan komitmen 40% hasil Sabah bukan sandiwara politik

LocalPolitics
16 Nov 2025 • 1:44 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PM Anwar pastikan kerajaan tidak rayu hak 40% hasil Sabah, dedah isu dipolitikkan pembangkang dalam PRN Sabah

KENINGAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak menipu rakyat Sabah berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya komited menyelesaikannya secara telus dan menyeluruh.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus itu.

Beliau berkata isu tersebut bagaimanapun telah dipolitikkan pihak lawan, khususnya pembangkang, sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Pembangkang kata kerajaan buat rayuan, maknanya ia tidak betul. Pilihan raya bukan tempat untuk menipu. Ada parti yang sebelum ini berada dalam kerajaan, dalam kabinet, pun tahu bahawa apa yang kita rayu hanyalah berhubung alasan penghakiman.

“Kita tidak merayu mengenai 40 peratus. Peguam Negara juga telah menjelaskan bahawa tiada rayuan terhadap isu ini. Saya sendiri menyebut di Parlimen bahawa kerajaan tidak akan merayu mengenai 40 peratus hasil Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid di Padang Kampung Menawo Ulu, di sini. – Bernama