PM Anwar tekan kepentingan kekalkan keamanan, kestabilan ASEAN

Politics
6 Sep 2023 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar tekan kepentingan kekalkan keamanan, kestabilan ASEAN

zulfadli

06/09/2023 - 17:42

KUALA LUMPUR 6 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ASEAN menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengukuhkan multilateralisme yang terjalin selama ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau menyatakan keyakinan terhadap Penaiktarafan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan memperdalam integrasi ekonomi serantau.

"Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26, saya singgung kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengukuhkan multilateralisme yang terjalin selama ini.

"Hatta, saya menyatakan keyakinan terhadap Penaiktarafan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan memperdalam integrasi ekonomi serantau.

"Saya menggesa kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang pertanian bagi menangani krisis keselamatan makanan serta membangunkan sumber manusia dengan memupuk inovasi, teknologi dan pendidikan teknikal," katanya.

Katanya, Malaysia juga mengalu-alukan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China pada 2024 yang memberi ruang untuk terus memupuk persahabatan yang berdaya tahan dalam kalangan generasi masa depan.

Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi rakyat Malaysia menghadiri kesemua siri mesyuarat pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Indonesia hari ini.

image is not available

Persidangan yang diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta itu bermula dengan beliau menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26, dihadiri oleh pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China, Li Qiang.

Ini adalah sidang kemuncak pertama Anwar dengan China dan akan diikuti dengan enam lagi Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Pada sebelah petang, beliau akan menyertai pemimpin serantau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-26 yang akan turut dihadiri oleh pemimpin China, Korea Selatan dan Jepun.

image is not available

Di tengah-tengah pertemuan ini, Anwar juga dijadualkan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala termasuk dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

Selepas itu, beliau dan para pemimpin ASEAN akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-11 sebelum menghadiri majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak itu, lapor Bernama.

Sidang Kemuncak yang diadakan sejak semalam hingga Khamis adalah sebahagian daripada kepimpinan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema "ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”. - DagangNews.com