PM Anwar tidak keberatan memohon maaf kepada Muhyiddin tapi tunggu siasatan MCMC

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PM Anwar tidak keberatan memohon maaf kepada Muhyiddin tapi tunggu siasatan MCMC

image is not available

14/08/2025 - 16:15

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sebarang masalah untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi perlu menunggu keputusan siasatan MCMC.

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak keberatan untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan penafian dakwaan berkaitan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah penting untuk menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terlebih dahulu kerana perkara itu sudah di bawa kepada MCMC bagi mendapatkan keterangan pihak berkenaan.

"Saya tidak ada masalah kerana kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih, itu satu kesilapan. Saya tiada masalah.

"Ada yang salah faham kata MCMC siasat Pagoh. Tidak. Saya nak jelaskan. Saya kata sumber ini dari satu, dua, tiga. Tolong siasat satu, dua, tiga ini, apakah sahih.

"Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar. Tapi biar tunggu keputusan MCMC dulu," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada Perdana Menteri bersedia meminta maaf kepada Pagoh.

Pada sesi itu, Anwar turut menafikan kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) bahawa beliau berselindung daripada menjelaskan perkara sebenar.

Katanya, beliau sudah berulang kali menyatakan, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan perkara berkenaan.

"Cuma pengesahan. Kerana saya ada tiga sumber. Yang disahkan tidak benar, satu sumber. Kalau betul dua sumber tidak... saya tidak ada masalah. Memang, kalau kesilapan, sesiapa sahaja, berdasarkan sumber yang digunakan itu, kalau disahkan oleh MCMC, saya akan jelaskan dan minta maaf kepada Pagoh.

"Tapi tunggulah dulu. Itu yang saya sebut. Tak ada masalah. Tetapi saya belum pernah dengar ketua pembangkang dan rakan-rakan sana yang memfitnah hari-hari, minta maaf sepatah pun…. tak ada pula nak sebut minta maaf. Guna hadis pula pertahan. Guna pula Quran dan Sunnah," katanya.

Anwar pada sesi PMQT minggu lalu meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan bebankan orang asing dalam penyasaran subisidi RON95.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing, susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Muhyiddin dilaporkan berkata, jika Perdana Menteri tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.- DagangNews.com

standard