
KUALA LUMPUR: Generasi muda wajar mencontohi ketegasan dan integriti tinggi dipamerkan mantan Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam memimpin negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dua sifat itu perlu tersemat di dalam jiwa semua anak-anak muda kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk menyelamatkan negara.
“Aspek ini, perkara ini dari negarawan Tun Dr Ismail yang perlu kita pelajari, termasuklah integriti Tun di dalam berpolitik, penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik.
Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka di sini hari ini. -Bernama
