
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memaklumkan persediaan kerajaan dalam pengurusan bencana banjir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) bertanyakan persediaan kerajaan dalam melaksanakan pelan komprehensif pengurusan bencana banjir bagi memastikan keselamatan mangsa dan meminimumkan kehilangan harta benda dalam musim Monsun Timur Laut ketika ini.
Pertanyaan itu dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Selain itu, Anwar juga dijangka menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai maksud dan harapan kerajaan apabila melaksanakan konsep Kerajaan Madani dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan Ahli Parlimen bagi membangunkan negara secara bersama.
Beliau turut bertanyakan harapan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dijadual dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Minggu ini adalah minggu akhir persidangan Dewan Rakyat yang bermula 9 Okt lepas hingga Khamis ini. - Bernama.

