
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras penggunaan retorik berbaur perkauman dalam politik, sambil menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap maruah manusia dan bercanggah dengan semangat perpaduan serta Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia perlu lebih matang dengan menerima hakikat bahawa setiap warganegara, tanpa mengira kaum, merupakan sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.
“Masih ada yang berkata ‘Cina balik China, India balik India’. Itu satu penghinaan kepada kita.
“Kalau saya tanya orang India, jika balik ke India, adakah dia tahu hendak pergi ke mana? Sudah tentu tidak. Yang dia tahu, inilah negaranya,” katanya ketika berucap pada satu ceramah kempen semalam.
Menurut Anwar, pengiktirafan terhadap hak semua kaum tidak bermaksud menolak atau menghakis kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera kekal terpelihara.
Pada masa sama, katanya, Perlembagaan turut menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat negara ini.
“Perlembagaan juga menjamin bahawa rakyat Malaysia daripada semua kaum perlu diterima sebagai satu keluarga. Kita mesti memberi pengiktirafan kepada mereka.
“Pengiktirafan itu tidak bermaksud menolak sesiapa. Kedudukan orang Melayu tetap terjamin,” katanya.
Anwar berkata, usaha mempertahankan hak masyarakat India dan Cina tidak pernah bertujuan merendahkan kedudukan orang Melayu atau mengubah asas Perlembagaan negara.
Sebaliknya, beliau menegaskan politik yang membangkitkan sentimen kebencian antara kaum hanya bertujuan meraih sokongan sempit dan tidak membawa manfaat kepada negara.
“Kalau orang Melayu mahu berjaya, mereka perlu berpegang kepada prinsip, berilmu dan menjadi contoh yang baik.
“Jangan menghina orang lain, berlaku adil. Nabi Muhammad SAW menjadi contoh terbaik bukan kerana baginda seorang Arab, tetapi kerana baginda merupakan teladan terbaik bagi seluruh manusia,” katanya.
Beliau turut menegaskan hasratnya untuk dikenang sebagai seorang Perdana Menteri yang berlaku adil serta menyayangi seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya berusaha menjadi Perdana Menteri yang baik, berlaku adil, menjaga semua rakyat dan menyayangi mereka. Saya mahu rakyat menyayangi saya bukan kerana saya Melayu, tetapi kerana saya berlaku adil kepada semua,” katanya. - Getaran, 30 Julai 2026


