PM lulus kenaikan geran tahunan KRT kepada RM10,000

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 8:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM lulus kenaikan geran tahunan KRT kepada RM10,000
Anwar berinteraksi dengan tetamu pada program MADANI Kita 2026 di Dataran Segamat pada Rabu. Foto Bernama

SEGAMAT - Kerajaan bersetuju menaikkan geran tahunan bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara kepada RM10,000 berbanding RM6,000 sebelum ini dan akan disalurkan pada 1 Jan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan peruntukan itu dibuat selepas kadar geran tahunan KRT kekal pada RM6,000 sejak 10 tahun lepas walaupun peranan institusi itu penting dalam membantu kerajaan menangani pelbagai isu di peringkat akar umbi.

"Kali ini saya setuju tambah ke RM10,000 untuk semua KRT yang melaporkan pembangunan dan kegiatan mereka bagi menghidupkan semangat musyawarah serta perpaduan," kata beliau pada Program MADANI KITA bersama KRT di Dataran Segamat pada RABU.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Anwar berkata, peranan KRT perlu terus diperkasakan kerana institusi itu membantu menghidupkan semangat musyawarah, demokrasi dan perpaduan selain membantu anggota keselamatan serta jabatan kerajaan menangani isu keselamatan dan kebajikan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keupayaannya mengekalkan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama sejak merdeka.

Perdana Menteri berkata, perbezaan kaum, budaya dan agama tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan negara.

Pada majlis sama, Anwar mengumumkan peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas di institusi pendidikan Islam di Johor.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja naik taraf dan pembaikan di sekolah agama, madrasah, pondok pengajian serta institusi tahfiz di beberapa daerah termasuk Batu Pahat, Muar dan Segamat.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani komited memperkasakan kemudahan di institusi pendidikan Islam bagi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

Selain itu, Anwar turut meluluskan peruntukan segera RM1.0 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih kritikal dan mendesak di kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang memuaskan.

Anwar berkata, usaha menaik taraf kemudahan anggota keselamatan itu penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara selaras dengan tanggungjawab menjaga keamanan negara. - Bernama

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved