PM mahu kemudahan prasarana, peningkatan kemahiran sektor logistik di tahap terbaik

LocalPolitics
28 Oct 2024 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (tengah) bergambar pada Majlis Perasmian DHL Express Malaysia Kuala Lumpur Gateway di KLIA Air Cargo Terminal 1 (KACT1), pada Isnin. Foto Bernama

SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi berkaitan dan syarikat swasta dalam bidang logistik memastikan aspek kemudahan prasana dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dalam bidang itu berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, perkara itu adalah selari dengan fokus kerajaan pada masa ini yang memberi tumpuan terhadap bidang perindustrian, pendigitalan, peralihan tenaga dan semikonduktor.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh setahun ini, pelabur besar telah menunjukkan minat kepada negara dan sudah tentu kemudahan prasarana di pelabuhan, pengangkutan dan logistik menjadi perhatian mereka.

"Di antara isu yang ditingkatkan adalah, apabila pelabur masuk di Selangor, Kulim (Kedah), Johor, Sabah dan Sarawak umpamanya, mereka akan lihat keupayaan ekosistem keseluruhannya.

"Sebab itu saya mahu kementerian dan rakan-rakan memberikan tumpuan yang lebih dalam bidang ini kerana tahap kepesatan perubahan itu terlalu cepat dan kalau jentera kita lembab, kita akan ketinggalan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Perasmian Kompleks DHL Express di Zon Perdagangan Bebas KLIA, di sini pada Isnin. - Bernama