PM, MB Negeri Sembilan bergelap ketika berbuka puasa

LocalPolitics
16 Mar 2025 • 8:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan gelap susulan bekalan elektrik terputus seketika sekitar jam 7.30 malam.

image is not available
Anwar tiba di Tampin sempena majlis berbuka puasa pada Ahad.

TAMPIN - Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Serbaguna Majlis Daerah Tampin di sini terganggu seketika akibat gangguan bekalan elektrik sebanyak dua kali pada Ahad.

Insiden berlaku ketika hadirin sedang berbuka puasa sekitar jam 7.30 malam, menyebabkan bekalan elektrik terputus selama beberapa minit sebelum berlaku gangguan kedua lima minit kemudian.

Masalah tersebut berjaya diatasi dalam tempoh singkat, dan majlis diteruskan seperti biasa sebelum Anwar meninggalkan lokasi selepas menunaikan solat Maghrib.

Dianggarkan seramai 3,000 tetamu, termasuk penjawat awam dan penduduk sekitar, hadir dalam majlis yang berlangsung dalam keadaan terkawal.

**media[3048299]**

Anwar tiba sekitar jam 7 petang diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, serta Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir menolak kemungkinan insiden itu berpunca daripada unsur sabotaj.

"Saya tidak rasa begitu (sabotaj) kerana selepas dua kali terputus bekalan, keadaan kembali pulih.

"Kejadian mungkin disebabkan beban berlebihan atau hujan, kerana petang tadi hujan turun. Namun, unsur sabotaj tidak mungkin," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut memaklumkan bahawa PDRM menempatkan seramai 120 anggota bagi memastikan keselamatan kawasan sepanjang kehadiran Perdana Menteri.

"Jadi, tiada isu yang boleh menggugat keselamatan. Insya-ALLAH," katanya.