
KUALA LUMPUR - Khabar angin Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat kembali bertiup kencang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang tadi.
Menurut laporan akhbar New Straits Times, Ismail Sabri hadir ke Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Sumber itu memaklumkan kehadiran Ismail Sabri ke Istana Negara tidak diketahui pengamal media yang kebanyakannya berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi membuat liputan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.
"Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok," kata sumber.
Katanya lagi, Perdana Menteri akan menghantar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat ke London, United Kingdom bagi mengadakan Lawatan Khas bermula esok hingga 16 Oktober ini.
Dalam lawatan khas itu, Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III, di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober ini.
Pada Khamis lalu, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi Istana Negara menafikan laporan yang mendakwa beliau mengadakan pertemuan itu bagi memohon pembubaran Parlimen.
Istana Negara dalam satu hantaran ringkas di Facebook memaklumkan kedua-duanya bertemu untuk membincangkan mesyuarat Pra-Kabinet.
“Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.
“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan,” katanya.
Sekiranya pengumuman pembubaran Parlimen dibuat sama ada esok atau lusa, senario ini lebih kurang sama dengan situasi pada 1999.
Pada waktu itu, Parlimen dibubarkan selepas pembentangan bajet yang mana ia berlaku ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 1999.
Mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengumumkan pembubaran Parlimen sekitar 10 November 1999, selepas bajet dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Oktober tahun sama. - Getaran, 9 Oktober 2022
