PM Modi ucap takziah atas pemergian Samy Vellu

LocalPolitics
15 Sep 2022 • 4:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India Narendra Modi melahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu yang juga penerima Anugerah Pravasi Bharatiya Samman pertama dari Malaysia.

“Sedih dengan pemergian Tun S. Samy Vellu, bekas menteri di Malaysia dan penerima Anugerah Pravasi Bharatiya Samman pertama dari Malaysia. Takziah kepada keluarga beliau. Om Shanti,“ katanya menerusi Twitter.

Samy Vellu, 86, meninggal dunia kira-kira 7 pagi Khamis di kediamannya di sini.

Semasa hayatnya, Samy Vellu pernah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 1978 hingga 2008.

Anugerah berprestij Pravasi Bharatiya Samman (PBSA) yang disampaikan Presiden India itu ialah anugerah tertinggi untuk bukan pemastautin India dan warga yang berada di luar negara.

Penyampaian anugerah itu dibuat semasa acara tahunan Pravasi Bharatiya Divas di India sebagai menghargai sumbangan yang telah diberikan.-Bernama