PM New Zealand Temui Khairul Aming Sebagai Tanda Perhargaan Rakam Video Masak Di Sana

LocalEntertainment
3 Sep 2024 • 7:41 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Khairul Aming bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia selepas influencer ini aktif dalam memuat naik video masakan di media sosial.

Antara segmen terbaharu yang dikeluarkan oleh Khairul Aming pada tahun ini adalah siri video memasak sambil meneroka negara New Zealand yang terdiri daripada sembilan episod.

Selepas membuat video masakan di dalam studio selama tujuh tahun, influencer tersebut mahu menampilkan sedikit kelainan serta mahu mencapai impiannya untuk melakukan perkara yang disukai sambil mengelilingi dunia.


Perdana Menteri New Zealand Hargai Khairul Aming Buat Video Memasak Di Negaranya

Siapa sangka, penat lelah Khairul Aming dan rakan-rakannya merakam video memasak di New Zealand akhirnya membuahkan hasil sehingga dapat berjumpa dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Menerusi video dimuat naik di laman X (@khairulaming), Christopher telah berjumpa sendiri dengan Khairul Aming di Malaysia sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand kerana memilih negara tersebut sebagai lokasi untuk membuat video masakan.

“Hari ni (3 September) Khairulaming dan Perdana Menteri New Zealand berjumpa sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video masak yang kita buat dekat sana,” kata influencer tersebut.

image is not available
Sumber: X @khairulaming

Dalam pertemuan di Restoran Hidang KL itu, Khairul Aming mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan pelbagai menu tradisional di Malaysia kepada Christopher seperti Roti Jala, Teh Tarik, Cendol dan kuih-muih.

Mengambil kesempatan yang ada, influencer ini turut memperkenalkan produk keluarannya iaitu Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet.

Selepas selesai sesi di luar restoran, influencer tersebut kemudiannya membawa Perdana Menteri New Zealand itu ke dalam restoran untuk menikmati hidangan Nasi Lemak.

image is not available
Sumber: X @khairulaming

Sepanjang sesi sarapan, Khairul Aming dan Christopher sempat membuat perbincangan mengenai pertukaran pelancongan antara kedua-dua buah negara.

“Kita juga ada berbincang topik mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand. Kita juga ada bincang tentang eksport daging halal ke sana dan produk SME yang boleh dibawa masuk ke New Zealand,” kata influencer itu.

Dalam video sama, Christopher menyifatkan Khairul Aming sebagai seorang ‘legend’ selepas menikmati hidangan yang disediakan oleh cef selebriti berkenaan.

Khairul Aming dalam ucapan akhir video tersebut turut mengatakan bahawa dia tidak menyangka akan berada pada tahap seperti ini.

“Siapa sangka dulu buat video duduk kat atas lantai di rumah sewa, sekarang dapat duduk bersama dengan Perdana Menteri terkenal dunia,” ujarnya.

Khairul Aming berterima kasih kepada semua kerana menyokong perjalanannya dari awal sehingga ke hari ini.

Orang Ramai Anggap Khairul Aming Sebagai ‘Influencer’ Sebenar

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan rakyat Malaysia memuji selepas melihat bagaimana Khairul Aming telah berjaya membawa dirinya ke tahap yang lebih tinggi sebagai seorang ‘influencer’.

“Wow next level betul KA. Tahniah!” kata seorang pengguna media sosial.

Pada masa yang sama, ada juga netizen yang melihat gaya Khairul Aming seolah-olah seperti seorang Menteri Pelancongan Malaysia.

“Keliru kejap ni Khairul Aming ke menteri pelancongan,” gurau pengguna X.

Selain itu, segelintir masyarakat pula mencadangkan agar influencer tersebut membuka cawangan kilang di New Zealand pula.

image is not available
Sumber: X @khairulaming


Siapa Sebenarnya Khairul Aming Ini?

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman dilahirkan pada 25 September 1992 dan kini berusia 31 tahun.

Beliau juga merupakan pengasas kepada perniagaan Sambal Nyet yang mula diusahakan bermula pada tahun 6 Januari 2021 sebelum mengeluarkan satu lagi produk iaitu Dendeng Nyet.

image is not available
Sumber: Instagram @sambalnyet

Khairul Aming memulakan kerjayanya sebagai ‘content creator’ sejak berumur 26 tahun dengan mewujudkan laman Facebook Rasapop.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam kehidupannya, cef selebriti ini gigih untuk bangkit semula dalam menghasilkan konten masakan serta membuka perniagaan.

image is not available
Sumber: Astro Awani

Hasil titik peluh membuat video masakan akhirnya memberikan hasil yang cukup membanggakan apabila Khairul Aming turut dinobatkan sebagai pemenang pertama bagi kategori Creator of The Year dalam Anugerah TikTok Awards 2023.