PM rasmi majlis pecah tanah Masjid Madani hari ini

LocalPolitics
27 Mar 2025 • 10:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar dijangka hadir merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India, pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India di sini, hari ini.

Perasmian itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa keperluan membina rumah ibadat umat Islam itu adalah bagi menampung kapasiti masjid dan surau sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.

Pada majlis sama, Anwar dijangka menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada asnaf, anak yatim, ibu tunggal, dan orang kurang upaya (OKU) (hilang penglihatan).

Bakal mengiringi beliau pada malis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Pada Selasa, media melaporkan isu berhubung tapak kuil itu selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat itu dipindahkan ke lokasi baharu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.

Sebelum itu juga, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik. - Awani