PM Sambut Baik Gencatan Senjata Amerika-Iran

8 Apr 2026 • 12:34 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PM Sambut Baik Gencatan Senjata Amerika-Iran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik perkembangan terkini berkaitan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan cadangan pelan 10 perkara yang dikemukakan Iran serta diterima secara positif oleh AS.

Kenyataan itu dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Anwar Ibrahim, yang menzahirkan harapan agar cadangan tersebut dapat membuka laluan kepada pemulihan keamanan dan kestabilan serantau serta global.

Menurut Anwar, cadangan pelan berkenaan dilihat sebagai langkah penting ke arah memulihkan keamanan, bukan sahaja di rantau Timur Tengah tetapi juga di seluruh dunia.

"Proses rundingan diharap bakal dijalankan dengan niat baik dan tekad yang kukuh bagi mencapai penyelesaian berkekalan terhadap isu di rantau berkenaan," ujar beliau.

Anwar menegaskan bahawa rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya proses tersebut dilaksanakan secara tidak telus atau melibatkan unsur penipuan.

Baca juga:

Beliau berkata, pelan 10 perkara itu perlu diterjemahkan menjadi satu perjanjian damai yang menyeluruh.

Menurutnya, perjanjian tersebut bukan sahaja penting kepada Iran, malah melibatkan negara lain termasuk Iraq, Lubnan dan Yaman.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menegaskan bahawa pihak berkaitan bertanggungjawab dalam memastikan penamatan pembunuhan beramai-ramai serta perampasan hak rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.

Sementara itu, Anwar merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif atas usaha diplomatik yang berterusan dalam membantu mencapai perkembangan tersebut.

Menurut Anwar, kesediaan Pakistan berunding bersama semua pihak tanpa rasa takut atau berat sebelah mencerminkan semangat solidariti umat Islam serta tanggungjawab antarabangsa.

"Malaysia bersedia menghulurkan sokongan serta melengkapi segala usaha dalam langkah ini," ujar Anwar.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat konflik berkenaan.

"Jadikan langkah ini sebagai titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu untuk berdepan dengan kegagalan dalam usaha mencapai keamanan," titip Perdana Menteri.