
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan mesej kepada rakyat untuk bangkit dengan semangat perpaduan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, semua rakyat di negara ini perlu diperkasakan sejajar dengan Malaysia yang sudah merdeka dan matang.
"Sebagai sebuah negara merdeka dan sudah matang serta dewasa, wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia yang tercinta.
"Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat Cina.
"Gong Xi Fa Cai. Selamat Tahun Baharu. Xin Nian Hao," katanya menerusi video mesej Tahun Baharu Cina Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat.
Menerusi video berdurasi 1 minit 45 saat itu turut memaparkan kisah seekor arnab bernama Miki yang gagah meneruskan perjalanan kehidupan dan berpantang untuk menyerah meskipun terpaksa mengharung pelbagai cabaran serta dugaan.
Kisah Miki memberi mesej kepada semua bahawa walaupun telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan selama ini dalam mencari sinar harapan namun jangan pernah mengalah.
Selepas menempuh kepayahan dan kesusahan itu namun selagi mana ada harapan pasti sinar akan hadir.
Di akhir penceritaan dalam video itu, kelihatan Miki digendong Anwar dan kemudian beliau menyampaikan mesej Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia.

