KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi bagi merawat masalah hernia abdomen.
Anggota Pasukan Perubatan Utama, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, prosedur bagi merawat hernia para-umbilikal yang dialami Perdana Menteri itu telah berjaya dilaksanakan sekumpulan pakar perubatan.
Menurut beliau, Anwar kini menjalani sesi fisioterapi dan masih berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan dengan baik.
“Beliau kini menjalani fisioterapi dan masih di bawah pengawasan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa Anwar sedang menjalani pemeriksaan serta beberapa prosedur perubatan yang disarankan oleh pasukan pakar perubatannya.
Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka berada di bawah pemerhatian perubatan selama dua hari.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar segala urusan berkaitan pemeriksaan dan prosedur perubatan Perdana Menteri dipermudahkan serta beliau dikurniakan kesihatan yang berpanjangan supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya. - Getaran, 10 Ogos 2026





