PM sertai pertemuan ketua negara Islam bincang konflik kemanusiaan Palestin

7 Nov 2023 • 4:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

HULU LANGAT, 7 NOV: Perdana menteri memaklumkan beliau akan ke Riyadh, Arab Saudi dalam masa terdekat bagi menyertai persidangan ketua-ketua negara Islam berhubung konflik kemanusiaan di Palestin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hampir setiap hari beliau menghubungi rakan pemimpin dunia Arab termasuk Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Turkiye berkaitan perkara itu.

“Mungkin dalam beberapa hari ini saya terpaksa bergegas ke Riyadh kerana Putera Mohammed Salman (Putera Mahkota Arab Saudi) setuju diadakan persidangan antara ketua-ketua negara Islam.

“Alhamdulillah kerana kedudukan Malaysia ini dihormati, kalau kita minta bercakap, nak lawat (akan) diberikan sambutan segera.

“Malah usul mengadakan sidang tergempar ketua negara Islam terus diangkat dan dibincang Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), Putera Mohammed Salman dan Presiden Mesir (Abdel Fattah El-Sisi). Semalam saya hubungi Erdogan dan mengatakan langkah awal ini patut disegerakan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan dan perasmian projek rintis bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia antara negara terawal menerima kelulusan kerajaan Mesir untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Banyak negara hantar misi bantuan dan kemanusiaan tapi Malaysia antara negara paling cepat terima kelulusan dan mengirim ke Gaza kerana saya hubungi presiden Mesir dan beliau beri jaminan,” katanya.

Pihak berkuasa Palestin mendedahkan angka korban di Gaza sudah melebihi 10,000 mangsa setakat semalam selepas hampir sebulan pengeboman oleh rejim Zionis di wilayah itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved