PM seru anak Johor pulang mengundi, pilih kepimpinan beramanah

LocalPolitics
10 Jul 2026 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM seru anak Johor pulang mengundi, pilih kepimpinan beramanah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anak Johor termasuk yang berada di perantauan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu bagi menentukan hala tuju masa depan negeri itu.

Beliau berkata, pilihan raya negeri kali ini merupakan detik penting yang bakal menentukan babak baharu dalam perjalanan Johor dan kehidupan rakyatnya.

Menurutnya, rakyat perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi kepentingan negeri.

Anwar berkata, Pakatan Harapan telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan Madani menerusi pelaksanaan pelbagai reformasi termasuk meningkatkan pelaburan, menaikkan gaji, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta menyelesaikan projek dan isu yang sekian lama tertangguh.

Beliau turut berkata, usaha itu berjaya memulihkan imej Malaysia sehingga kembali dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa, selain menjadi asas untuk membawa Johor ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.

"Saya memohon rakyat Johor memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memimpin negeri ini dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, pilihan raya itu juga memberi peluang kepada rakyat untuk menolak pihak yang mempertahankan pencuri wang rakyat serta politik yang menurutnya muflis idea dan bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama.

Beliau turut mendoakan agar Johor dikurniakan kepimpinan yang amanah serta terus melangkah ke arah masa depan yang lebih makmur, adil dan sejahtera demi seluruh Bangsa Johor.

Dalam hantaran sama, beliau mengakhiri mesejnya dengan rangkap pantun yang menyeru rakyat menggunakan hak mengundi sebagai langkah menentukan kejayaan negeri dan negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved