PM tangguh program, utamakan kebajikan rakyat dilanda banjir

LocalPolitics
28 Nov 2024 • 5:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (dua dari kanan) berbincang dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen setelah beliau selesai menghadiri sesi soal jawab pada Khamis. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan program beliau di Tasik Kenyir, Terengganu, yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang berdepan bencana banjir.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen setelah beliau selesai menghadiri sesi soal jawab hari ini.

"Mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing di Terengganu, saya memutuskan untuk menangguhkan dahulu rencana itu.

"Saat ini, kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar turut mendoakan agar mangsa banjir di semua negeri yang terlibat terus tabah dalam mendepani musibah itu.

Setakat jam 4 petang tadi, seramai 14,111 mangsa daripada 4,113 keluarga direkodkan di Terengganu melibatkan tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.

Selain Terengganu, banjir juga melanda Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Johor. - Bernama