
PENDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem Raja Berperlembagaan boleh terhakis sekiranya seseorang raja mudah disingkirkan seperti isu di Negeri Sembilan.
Anwar berkata, justeru beliau tegas mempertahankan sistem itu daripada sebarang usaha menggugat atau mempermudah proses penyingkiran seseorang raja.
Katanya, kedudukan Raja-Raja Melayu adalah berasaskan Perlembagaan dan tidak boleh diputuskan sesuka hati.
“Saya tidak campur, saya kata bincanglah cara elok, saya tak setuju semudah-mudah nak guling raja ini, tak boleh (kerana) sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas.
“Oh (dikatakan) kamu tak faham Negeri Sembilan, kita ada empat Undang boleh jatuhkan (raja). Saya pun baca Perlembagaan sebab itu Peguam Negara bagi keputusan yang tegas tak boleh mudahkan.
“Bayangkan kalau mula di situ, esok Perdana Menteri dan Jemaah Menteri merasakan kita tukar Agong, kita tulis pada Raja-Raja Melayu kita tak setuju dengan Agong bolehkah,” katanya pada Program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sesuka hati perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa Melayu dan hak yang dilindungi Perlembagaan.
Menurut Anwar, persoalan mengenai kedudukan raja perlu dilihat dalam kerangka sistem negara dan bukan semata-mata berdasarkan perbezaan politik atau kepentingan parti.
“Ini bukan soal parti politik ini sistem negara, kita orang Melayu kena buat keputusan apa guna kalau dalam soal raja Melayu yang jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana,” katanya.
Tambahnya, sistem Raja Berperlembagaan mempunyai mekanisme dan batas kuasa yang berbeza berbanding kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
“Perdana Menteri boleh naik, boleh turun, boleh menang, boleh kalah. Raja Berperlembagaan itu dia kekal ikut Perlembagaan. Dia tak bertanding dalam pilihan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PM tegas pertahan sistem Raja Berperlembagaan appeared first on Kosmo Online.





