
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan rasa tersentuh terhadap keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam kejadian cemas di Kundang, Isnin lalu.
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, beliau berkata tindakan nekad kesemua pemuda itu yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain wajar dipuji serta dijadikan teladan oleh masyarakat.
“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terbabit dalam nahas di Kundang.
“Tindakan mereka yang mendahulukan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan telah menyelamatkan tiga nyawa,” katanya.
Keberanian Cerminkan Nilai Ihsan
Menurut beliau, keberanian dan keikhlasan yang ditunjukkan jelas mencerminkan nilai kemanusiaan serta sifat ihsan yang amat bermakna dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau dalam masa sama turut mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak kecil berkenaan segera diberikan kesembuhan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.
Terdahulu, TMU melaporkan sebuah kenderaan dinaiki seorang wanita bersama dua anak kecil terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kundang, mencetuskan detik cemas.
Namun, tindakan pantas tujuh pemuda yang kebetulan berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa daripada lemas.
Keberanian luar biasa itu sekali lagi membuktikan bahawa semangat prihatin dan tolong-menolong masih utuh dalam kalangan rakyat negara ini. – The Malaysian Update
The post PM Tersentuh Keberanian 7 Pemuda Selamatkan Ibu, Dua Anak Dalam Nahas Tasik appeared first on The Malaysian Update.


