PM Tiba Di Republik Kyrgyz Untuk Lawatan Rasmi 2 Hari

LocalPolitics
15 May 2024 • 8:51 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

BISHKEK - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Manas di sini pada 10.20 malam waktu tempatan (12.20 tengah malam waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar disambut oleh Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov dan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Ilham Tuah Illias.

Republik Kyrgyz adalah negara pertama dikunjungi dalam kerangka lawatan Perdana Menteri ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan.

Menurut Kementerian Luar, lawatan itu adalah atas jemputan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov.

Sepanjang lawatan itu, Anwar akan disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.

Perdana Menteri akan memulakan lawatan rasmi beliau esok dengan meletakkan kalungan bunga di Kompleks Peringatan Ata-Beyit sebelum ke Kediaman Negara Ala Archa untuk upacara memeriksa kawalan kehormatan disusuli pertemuan empat mata dengan Presiden Japarov.

Kedua-dua pemimpin dijangka menandatangani kenyataan bersama dan mengadakan sidang media sebelum Perdana Menteri bertemu rakan sejawatnya iaitu Zhaparov.

Pada hari kedua lawatan, beliau akan mengadakan tinjauan mesa dan menghadiri acara kebudayaan di Taman Negara Ala Archa sebelum berlepas ke destinasi berikutnya iaitu Kazakhstan. - BERNAMA