PM umum beberapa berita baik dalam masa terdekat

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa berita baik untuk rakyat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pengumuman itu merupakan usaha kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

"Ia selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.

"Insya-Allah, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri," katanya pada Isnin.

Pengumuman itu dibuat selepas Anwar mengemukakan tujuh langkah intervensi segera bagi meringankan beban rakyat.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan digerakkan dengan hasrat memastikan rakyat dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.

"Sebagai imbasan, antara pengumuman utama Perdana Menteri termasuklah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula Selasa, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 yang melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain imam, bilal, guru KAFA dan sebagainya.

"Pagi tadi juga kita mendengar bahawa peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara akan dilakukan, selain peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa," katanya.

Pejabat Perdana Menteri turut berharap segala bantuan, ikhtiar serta langkah yang diumumkan itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.