
KUALA LUMPUR - Kabinet bersetuju melaksanakan subsidi bagi diesel secara bersasar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan dimulakan untuk pengguna di Semenanjung.
Menurut beliau, pelaksanaan tersebut buat permulaan tidak melibatkan pengguna di Sabah serta Sarawak.
“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial
bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen malam ini.
Perdana Menteri menarik perhatian, kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup.
Justeru katanya, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20.
“Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun,” katanya. - Getaran, 21 Mei 2024


