KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) sebagai pusat sehenti bagi memudahkan wanita mendapatkan bantuan berkaitan pelbagai isu termasuk keganasan rumah tangga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita itu bertujuan menyediakan akses kepada perkhidmatan sokongan yang lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa.
“PRISMAnita berfungsi sebagai pusat sehenti atau one stop centre yang menyatukan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung selaras dengan konsep ‘Dasar Pintu Terbuka’ atau No Wrong Door Policy bagi memastikan wanita mendapat bantuan yang tepat tanpa halangan birokrasi.
“Perkhidmatan PRISMAnita akan beroperasi melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Selasa.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalannya, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Selain PRISMAnita, Anwar turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat yang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih).
Menurutnya, Skim Lindung Kasih yang diperkenalkan pada tahun 2022 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosia (PERKESO) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah daripada risiko bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
**media[3459503]**
“Melalui mekanisme baharu ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan bertindak sebagai badan perantara kepada syarikat atau pihak yang ingin menaja caruman skim tersebut.
“Penajaan yang disalurkan melalui YKN melayakkan penyumbang menikmati pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu untuk mengambil peluang ini bagi menaja caruman Lindung Kasih kepada wanita yang layak,” katanya.
Kata Anwar, Kerajaan Madani juga akan terus memperkasa wanita melalui pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 termasuk usaha memperluas peluang ekonomi, memperkukuh perlindungan sosial serta mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan inklusif kepada keperluan wanita.
Mengenai SHWA2026 yang mengangkat tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara, Anwar menegaskan, sambutan itu menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai pemangkin utama kepada pembentukan keluarga sejahtera, masyarakat berdaya tahan dan negara yang mampan.
Ujar beliau, agenda pemerkasaan wanita bukan sekadar tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak melalui pendekatan whole-of-nation bagi memastikan wanita terus diberi ruang dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Sempena majlis berkenaan, turut disampaikan beberapa anugerah berprestij kepada mereka yang berperanan aktif dalam memperjuangkan hak, kesejahteraan dan kemajuan wanita iaitu Anugerah Ikon Wanita 2026, Anugerah Syarikat Mesra Wanita 2026 dan Anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita 2026.
Memperkasa wanita
Sementara itu, Nancy berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasa golongan wanita sama ada dalam bidang ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan sejajar dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030.
“Dari segi kepimpinan, matlamatnya ialah memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berada di peringkat pembuat keputusan. Pada hari ini, kita boleh berbangga dengan pencapaian wanita sebagai pembuat keputusan di semua peringkat.
**media[3459521]**
“Statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga Disember 2025 melaporkan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam telah mencapai 39.4 peratus, sekali gus melepasi sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan sejak 2004,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan.
Ujarnya, Forum Agenda Wanita Negara yang membincangkan tema wanita dalam industri kreatif, kesaksamaan gender dalam organisasi dan pembinaan ekosistem pekerjaan inklusif turut diadakan pada sebelah pagi sempena SHWA2026.
Nancy ketika ditemui pada forum tersebut berkata, kisah kejayaan wanita yang bermula dengan langkah kecil termasuk dari rumah turut dikongsi dalam Forum Agenda Wanita Negara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta termasuk pelajar.
“Kreativiti pengasas dan pereka fesyen terkenal, Datuk Tom Abang Saufi yang menceritakan bagaimana beliau memulakan langkah dalam industri fesyen dari rumah dengan menggunakan apa sahaja yang ada ketika itu sebelum bertukar kepada satu bisnes, menjadi contoh kepada orang ramai.
“Ia membuktikan (bisnes) boleh bermula dari rumah dan tanpa perlu guna modal besar dahulu sehingga kita ada semangat dan idea serta seterusnya boleh tunjukkan apa yang dimiliki yang boleh dijadikan sebagai peluang untuk mendapatkan geran misalnya,” ulasnya.
Dalam pada itu, aktres popular merangkap usahawan, Nur Fazura berkata, golongan wanita perlu percaya pada diri yang mereka mampu lakukan dan capai apa sahaja yang dimahukan asalkan sentiasa cekal serta positif walau apa jua yang dilalui dalam hidup.
“Cabaran akan sentiasa ada dan bagi saya saya cabaran terbesar bagi wanita dalam dunia perniagaan ialah untuk bahagikan masa kerana kebanyakan wanita juga bergelar seorang ibu dan isteri. Jadi ia menuntut kita untuk pandai uruskan rumah tangga serta emosi,” katanya yang juga rakan strategik SHWA2026.
