PMKS perlu celik ESG

LocalBusiness & Finance
27 Jul 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PMKS perlu celik ESG

AGENDA Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) kini bukan lagi sekadar slogan korporat atau trend bermusim, melainkan telah berevolusi menjadi kriteria wajib dalam rantaian bekalan dan pasaran global.

Di peringkat nasional, Malaysia komited ke arah negara neutral karbon menjelang 2050. Namun, persoalan besar yang timbul ialah: Di manakah kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam arus kelestarian ini?

Walaupun kelompok PMKS mula menyedari kepentingan moral dan etika di sebalik ESG, tahap pelaksanaan praktikal dalam operasi harian mereka masih berada pada paras yang membimbangkan.

Image from: PMKS perlu celik ESG

Tidak dinafikan, sektor ini sedang diasak pelbagai cabaran ekonomi domestik yang getir bermula daripada keperluan memenuhi dasar gaji minimum, kenaikan kos bahan mentah yang mendadak, sehinggalah persaingan sengit pasca-pandemik demi memastikan kelangsungan perniagaan.

Bagaimanapun, agenda ESG tidak boleh terus diketepikan. PMKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia yang membentuk sebahagian besar ekosistem perniagaan negara dan menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Mengabaikan kelestarian PMKS bermakna kita merencat keseluruhan transformasi hijau negara.

Pengamalan ESG PMKS
Satu penyelidikan komprehensif yang dijalankan ke atas 376 perniagaan PMKS di Malaysia mendedahkan jurang yang ketara antara kesedaran teoretikal dan aplikasi praktikal.

Data empirikal menunjukkan rintangan terbesar adalah dalam aspek formaliti, pelaporan dan peruntukan dana syarikat. Antara dapatan utama kajian yang memerlukan perhatian serius pihak berkuasa termasuklah:

  • Krisis dana dan pelaporan (Halangan paling dominan): Berdasarkan tinjauan, 58.8 peratus syarikat mengakui langsung tidak mempunyai sebarang peruntukan bajet khusus untuk melaksanakan inisiatif ESG. Proses mengadaptasi ESG melibatkan kos yang tinggi, seperti pelaburan dalam teknologi dan pengurusan sisa. Akibat ketiadaan bajet ini, 61.2 peratus syarikat gagal atau belum bersedia menyediakan laporan kelestarian atau ESG. Bagi PMKS, setiap ringgit keuntungan keutamaan diberikan kepada kelangsungan operasi berbanding kelestarian jangka panjang.
  • Jurang pengetahuan, kepakaran dan masa: Hasil dapatan turut menunjukkan bahawa 47.1 peratus PMKS masih belum mempraktikkan kaedah kerja yang selari dengan kelestarian. Mengapa hal ini terjadi? Data membuktikan ia berpunca daripada ketiadaan pemahaman mengenai elemen ESG itu sendiri. Secara terperinci, sebanyak 162 maklum balas yang diterima menyatakan bahawa kekurangan pengetahuan dan kesedaran, diikuti oleh ketiadaan kepakaran (127 respons) dan kekangan masa (121 respons) merupakan cabaran utama pelaksanaan ESG. Tidak seperti korporat besar, PMKS tidak mampu menggaji Pegawai Kelestarian khusus. Pemilik terpaksa menguruskan pelbagai tugas serentak sehingga usaha kelestarian jatuh ke tempat paling bawah, menjadikan pendekatan mereka bersifat reaktif.

Sisi Positif
Di sebalik angka yang rendah dalam aspek pelaporan teknikal, kajian ini turut menemukan satu sudut pandang yang amat positif. PMKS di Malaysia didapati mengamalkan prinsip ‘Sosial’ (S) dan ‘Tadbir Urus’ (G) secara tidak langsung melalui budaya kebajikan tempatan dan kepatuhan undang-undang sedia ada.

  • Penekanan persekitaran kerja kondusif: Majoriti besar syarikat (66.8 peratus) memberikan komitmen tinggi dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif. Pengusaha PMKS sedar bahawa kebajikan pekerja adalah nadi utama yang memacu prestasi dan produktiviti perniagaan mereka.
  • Pematuhan terhadap pihak berkuasa: Sebanyak 62.0 peratus syarikat sentiasa memastikan aktiviti operasi mereka mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan oleh badan kawal selia, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).
    Ini membuktikan bahawa PMKS bukanlah tidak bertanggungjawab, tetapi kekangan struktur dalaman mengehadkan mereka untuk menterjemahkan amalan harian ini ke dalam kerangka ESG yang formal.

Langkah Bersepadu
Halangan pelbagai dimensi ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil memerlukan intervensi yang drastik.

Maklumat literasi ESG tidak boleh lagi sekadar tersimpan di dalam dewan seminar hotel mewah, sebaliknya mesti ‘turun ke padang’ disebarkan terus ke dalam ekosistem perniagaan akar umbi menerusi persatuan pedagang, kumpulan sokongan perniagaan, dan pelantikan ejen ESG bertauliah.

Demi mempercepatkan integrasi kelestarian ini, Malaysia wajib memperkukuhkan formula berikut:

  • Memaksimumkan pembiayaan sedia ada: Sebenarnya, alasan ketiadaan modal sudah boleh ditangani melalui pelbagai inisiatif pembiayaan di pasaran. Antaranya termasuklah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kadar faedah rendah 5.0 peratus, geran padanan (DIAF) sehingga RM500,000 oleh MIDA, serta sokongan pembiayaan hijau berterusan daripada SME Corp dan bank-bank komersial. Isu utamanya kini adalah tahap kesedaran PMKS yang masih rendah terhadap kewujudan dana ini, selain kerenah birokrasi. Oleh itu, promosi inisiatif ini perlu diperhebat manakala syarat permohonannya wajib dipermudahkan agar kelulusannya benar-benar mesra PMKS.
  • Pembangunan kapasiti bersasaran: Program latihan, bimbingan teknikal dan mentorship berkala harus dilaksanakan secara percuma atau bersubsidi untuk melahirkan juara kelestarian dalam kalangan komuniti usahawan tempatan.
  • Alat pelaporan yang mudah (Simplified ESG Toolkit): Kerangka pelaporan ESG yang diguna pakai oleh syarikat multinasional tidak boleh dipaksa ke atas PMKS. Malaysia memerlukan satu sistem instrumen laporan yang ringkas, murah, digital, dan praktikal, bersesuaian dengan kemampuan operasi PKS tempatan.
  • Penawaran insentif dan ganjaran pelaksanaan ESG: Memandangkan pematuhan ESG dalam kalangan PMKS di Malaysia tidak diwajibkan secara perundangan seperti syarikat tersenarai awam (PLC), pendekatan berunsur galakan amat diperlukan. Kerajaan wajar menawarkan ganjaran yang telus dan berupaya merangsang perniagaan seperti pemberian penganugerahan atau sijil pengiktirafan khas kelestarian, pelepasan cukai tambahan, potongan yuran pembaharuan lesen, keutamaan dalam perolehan tender, atau akses khusus kepada Program Pembangunan Vendor (VDP) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada PMKS yang berjaya melepasi piawaian ESG. Ganjaran sebegini bukan sahaja menyuntik motivasi, malah membuktikan bahawa usaha ke arah kelestarian mampu menterjemahkan pulangan nilai ekonomi dan reputasi jenama yang nyata tanpa menjejaskan integriti tadbir urus.

Pendekatan holistik dan bersepadu ini bukan lagi satu pilihan, melainkan satu kemestian bagi membolehkan PMKS terlibat sama dalam transformasi ekonomi mampan negara. Sudah sampai masanya seluruh ekosistem perniagaan di Malaysia mengubah naratif dan minda: ESG bukan lagi satu bebanan kos atau liabiliti, sebaliknya ia adalah pelaburan strategik yang menjamin kelangsungan, daya saing dan ketahanan perniagaan PMKS pada masa hadapan. – UTUSAN

DR. Wahidah Shari ialah Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGAIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).

The post PMKS perlu celik ESG appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved